Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis menumpaskan sindiket Macau Scam yang beroperasi di sebuah inap desa di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.

Dalam serbuan dilakukan Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJK Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang jam 10.35 pagi itu, seramai 17 suspek termasuk dua wanita berusia 22 hingga 33 tahun ditahan.

Mereka dipercayai menjadi inap desa sebagai pusat panggilan dengan menyamar sebagai pegawai pos laju dan pegawai polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini adalah kali pertama polis Johor mengesan taktik digunakan Macau Scam yang beroperasi di kawasan luar bandar.

"Sindiket Macau Scam ini beroperasi di sebuah unit rumah berkembar di Bandar Penawar yang juga sebuah inap desa yang disewa.

"Siasatan awal mendapati 17 suspek yang ditahan pada mulanya ditawarkan pekerjaan lain di media sosial dan hanya mengetahui pekerjaan sebenar selepas memasuki rumah yang dijadikan pusat panggilan Macau Scam.

"Semua 17 suspek bukan saja dikawal ketat sejak mula bekerja sejak setahun lalu, malah segala pergerakan mereka dipantau rapi dan tidak dibenarkan keluar rumah, dengan segala keperluan termasuk makanan disediakan ketua sindiket yang masih bebas dan sedang dikesan.

"Semua ahli sindiket yang bekerja sebagai operator menyamar sebagai pegawai pos laju dan pegawai penguat kuasa diberi gaji antara RM2,000 hingga RM7,000 sebulan termasuk komisen antara tiga hingga lima peratus daripada jumlah wang mangsa yang berjaya diperdayakan, " katanya dalam sidang media di Pusat Media IPK Johor, di sini, hari ini.

AYOB Khan menunjukkan modus operandi Macau Scam dan gambar 17 suspek yang ditangkap. FOTO Zain A
AYOB Khan menunjukkan modus operandi Macau Scam dan gambar 17 suspek yang ditangkap. FOTO Zain A

Turut hadir, Ketua JSJK IPK Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah.

Ayob Khan berkata, modus operandi yang digunakan ahli sindiket itu ialah menyamar sebagai pegawai pos laju dan memperdayakan mangsa kononnya kiriman atas nama mangsa ditahan kerana mengandungi barang yang menyalahi undang-undang.

"Ahli sindiket juga menyamar sebagai pegawai polis kononnya mangsa boleh ditangkap dan akan dikenakan tindakan undang-undang sebelum mendakwa boleh membantu mangsa membuat laporan polis.

"Ahli sindiket kemudian menyamar pula sebagai pegawai penyiasat kes atau pegawai AMLA dan menawarkan mangsa untuk menyelesaikan kes dengan meminta maklumat diri dan perbankan sebelum diminta membuat pindahan wang ke dalam akaun bank diberikan ahli sindiket," katanya.

Beliau berkata, semua 17 suspek yang ditahan direman empat hari bermula hari ini sehingga 6 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ayob Khan menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyerahkan butiran diri terutama maklumat perbankan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali.

"Orang ramai dinasihatkan membuat semakan melalui laman CCID Semak Mule atau pihak berkuasa sekiranya mendapat panggilan meragukan yang meminta maklumat peribadi supaya tidak diperdaya dan menjadi mangsa sindiket Macau Scam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 5:09 PM