Mohamed Farid Noh


POLIS berjaya membongkar kegiatan sindiket penipuan Macau Scam, Ho & Michael (HM), yang menggunakan teknologi canggih bagi menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa, agensi kerajaan dan Pos Malaysia, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan risikan selama sebulan yang dilakukan Polis Kontinjen Johor sebelum serbuan dibuat kira-kira 9 pagi Selasa lalu.

Katanya, ini kali pertama anggota sindiket penipuan dan penyamaran Macau Scam berjaya dibongkar dan ditahan di negara ini.

"Polis menyerbu sebuah rumah di taman perumahan di Mount Austin, Johor Bahru, yang disyaki dijadikan pusat panggilan (call centre) sindiket penipuan itu sebelum berjaya menahan 12 suspek warga tempatan.

DUA individu yang dikehendaki polis. FOTO OMAR AHMAD
DUA individu yang dikehendaki polis. FOTO OMAR AHMAD

"Suspek berkenaan membabitkan seorang penyelia, seorang pakar teknologi telekomunikasi serta 10 operator pusat panggilan yang berusia antara 20 hingga 45 tahun.

"Sindiket ini menggunakan teknologi terkini dan canggih termasuk aplikasi khas, Got Further 602400, yang dibeli dari sebuah negara Asia dengan sistem konfigurasi telekomunikasi menerusi aplikasi Voice Over Internet Protocol (VoIP) dan Interactive Voice Response (IVR).

"Mangsa akan dihubungi secara rawak oleh sistem menggunakan IVR (suara robotik) dengan rakaman suara panggilan daripada pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), imigresen, kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mahkamah dan Pos Malaysia akan dimainkan, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

AYOB Khan menunjukkan carta aliran penipuan yang digunakan Macau Scam dengan sistem canggih Got Further 602400 . FOTO Omar Ahmad
AYOB Khan menunjukkan carta aliran penipuan yang digunakan Macau Scam dengan sistem canggih Got Further 602400 . FOTO Omar Ahmad

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, mangsa kemudian akan diminta untuk menekan nombor pada telefon untuk bercakap dengan pegawai agensi penguat kuasa atau pusat khidmat pelanggan.

Katanya, seterusnya mangsa akan disambungkan kepada operator di pusat panggilan yang menyamar sebagai agensi penguat kuasa dan agensi kerajaan atau Pos Malaysia sebelum mangsa diperdaya sudah melakukan kesalahan menyalahi undang-undang.

"Sistem ini juga menggunakan sebuah sistem pangkalan data haram yang dapat menyemak maklumat mangsa seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan alamat rumah mangsa menyebabkan mangsa berjaya diyakinkan dan diperdaya.

"Operator pusat panggilan juga akan memaklumkan mangsa terbabit dengan jenayah penggubahan wang haram sebelum meminta mangsa memuat turun sebuah aplikasi diberikan ahli sindiket berkenaan," katanya.

Ayob berkata, aplikasi digunakan sindiket berkenaan kemudian akan mendapatkan semua maklumat dalam telefon bimbit mangsa terutama nombor Transaction Authorization Code (TAC) akaun bank mangsa yang akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun bank mangsa.

Beliau berkata, polis berjaya mengenalpasti sebanyak 12 kes yang membabitkan sindiket berkenaan dengan nilai kerugian mangsa dianggarkan bernilai RM595,299.

Katanya, pihaknya juga menghadapi kesukaran mengesan jumlah mangsa sindiket berkenaan berikutan semua maklumat di dalam telefon bimbit dan komputer riba ahli sindiket yang dirampas berjaya dipadamkan berikutan aplikasi canggih itu mampu memadamkan semua maklumat sulit dengan satu sentuhan secara berpusat.

"Selain di Malaysia, kegiatan sindiket juga bertumpu di Kemboja, Thailand, Australia, Jepun dan Vietnam dengan gaji operator yang ditahan dibayar sehingga RM5,000 berserta komisen sehingga tujuh peratus setiap mangsa.

"Sindiket ini diketuai oleh seorang lelaki rakyat tempatan dengan rakan kongsinya berusia 31 dan 36 tahun.

"Mereka dipercayai ahli kongsi gelap, Geng Lima Warna dan kini sedang diburu polis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 11:59 AM