Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sentiasa memberi maklumat terkini kepada ibu bapa dan seluruh kakitangan mengenai situasi sebenar di MRSM Bentong, Pahang susulan jangkitan kes Covid-19 di pusat pengajian itu.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tidak wujud dakwaan ibu bapa tidak diberi sebarang makluman serta tiada arahan dikeluarkan supaya pelajar mendiamkan diri.

"Sejak kes jangkitan dikesan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong sudah terbabit secara langsung melaksanakan ujian saringan dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan sebagaimana ditetapkan pihak berwajib.

"MRSM Bentong sudah mengambil langkah segera dengan menubuhkan Jawatankuasa Bencana Covid-19 MRSM Bentong bagi menguruskan kes yang berlaku serta berhubung dengan PKD berkenaan kes pelajar dan juga pekerja dewan selera.

"Seramai 38 pelajar, lima pekerja dewan selera, enam staf bertugas di asrama dan seorang guru yang didapati sebagai kontak rapat pelajar positif Covid-19 sudah menjalani ujian calitan di maktab," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, pemantauan berterusan sudah dilakukan Klinik Kesihatan Bentong dengan membuka klinik bergerak setiap hari di dalam maktab, bagi pelajar yang bergejala dan positif diasing serta ditempatkan di rumah warden serta tidak menggunakan kemudahan yang sama dengan pelajar lain.

"Kebajikan pelajar adalah fokus utama maktab dengan memastikan makanan sentiasa mencukupi dan pelajar turut dibekalkan makanan tambahan. Makanan dihidang secara bungkus dan diserah kepada pelajar di bilik masing-masing oleh petugas.

"Kesemua pelajar dikuarantin selama 10 hari dan dipantau secara dekat oleh pasukan perubatan PKD, manakala kerja-kerja sanitasi dilakukan pihak bomba di asrama, bilik kuliah dan sekitar maktab," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut maktab turut membekalkan peranti dan gajet yang sesuai kepada pelajar sebagai kemudahan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu di Kuantan, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata mereka yang didapati positif sudah dibawa keluar dari MRSM berkenaan bagi mendapatkan rawatan di hospital, sekali gus menafikan dakwaan individu terlibat turut dikuarantin di dalam asrama institusi berkenaan.

"Tindakan ini selari dengan amalan pengurusan pesakit Covid-19 yang dipraktikkan di Pahang iaitu mereka yang positif dirawat di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) berisiko rendah kerana kita tidak membenarkan kuarantin kendiri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa aspek kebajikan dan pembelajaran lebih 100 pelajar lain yang kini menjalani kuarantin di MRSM itu sebagai langkah meminimumkan pergerakan keluar masuk, menjadi keutamaan semua pihak berkaitan selain dipantau MKN negeri.

"Bagi aspek pembelajaran, guru yang sudah berada di dalam (MRSM) tidak dibenarkan keluar manakala guru dari luar sudah dimaklumkan mereka perlu terus berada di asrama jika memasuki perkarangan maktab buat masa ini," katanya.

Mohd Zairasyahli Shah berkata aspek penjarakan fizikal juga dilihat dapat diamalkan dengan baik di MRSM berkenaan memandangkan sudah terdapat pembahagi ruang atau kubikel di situ, yang kini dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelaksanaan kuarantin tersebut.

Semalam, lima calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiga pekerja dewan makan MRSM itu disahkan positif Covid-19 yang difahamkan berpunca daripada seorang pelajar dari Selangor yang pulang ke situ pada 9 Januari sebelum mengalami demam dan batuk pada 28 Januari lalu.

Pada perkembangan berkaitan, Mohd Zairasyahli Shah juga mengesahkan 144 pelajar MRSM Lipis, kira-kira 237 kilometer dari sini, sudah dibenarkan pulang ke asrama selepas tamat menjalani kuarantin sejak 20 Januari lalu, selepas terdapat pelajar disahkan positif sehari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, seramai 142 pelajar perempuan dikuarantin di Institut latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Bikit Tinggi, Bentong manakala bakinya pelajar lelaki diletakkan di asrama MRSM berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 4:02 PM