GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebuah lagi sekolah di Perak merekodkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar selepas enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dikesan positif wabak itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kes jangkitan kedua itu berlaku di sebuah sekolah agama di Bagan Datuk.

Saarani bagaimanapun enggan menyatakan berapa ramai warga sekolah itu yang dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, walaupun terdapat kes jangkitan di sekolah itu, namun ia tidak membawa kepada penutupan sekolah berkenaan.

"Saya minta maaf kerana saya tidak bawa angka (statistik) hari ini.

"Memang ada berlaku jangkitan kepada pelajar sekolah terutama sekali berasrama penuh. Tetapi mereka yang dijangkiti itu sudah diasingkan atau dikuarantin di asrama berasingan sekali gus jangkitan tidak menular ke luar.

"Jadi di Perak tiada sekolah ditutup setakat ini. Sekolah yang terbabit masih dibuka tetapi pelajar yang berkenaan dikuarantin di asrama berasingan," katanya pada sidang media selepas berucap merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di Hotel Casuarina, Meru, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Saarani berkata, pihaknya setakat ini masih belum memperoleh angka rasmi jumlah sebenar kes jangkitan Covid-19 membabitkan sekolah memandangkan terdapat sekolah yang bukan berada di bawah penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Situasi sekarang, ada dua sekolah. Satu di bawah JPN yang hanya ambil maklum berkaitan sekolah di bawah KPM dan satu lagi sekolah (MRSM Sultan Azlan Shah) adalah di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Jadi ada dua sumber berbeza yang kita kena dapatkan walaupun setakat ini saya fikir tiada masalah besar berkaitan penularan jangkitan kerana masing-masing menjalani kuarantin di asrama masing-masing," katanya.

Kelmarin, media melaporkan Exco Kesihatan Perak, Mohd Akmal Kamarudin mengesahkan enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah (SAS) Kuala Kangsar disahkan positif Covid-19 melalui Kluster Jalan Kuala Kangsar-Gerik.

Sementara difahamkan, jangkitan di sekolah agama di Bagan Datuk itu adalah daripada kluster Batu 20 Selekoh yang mana setakat semalam sebanyak dua kes baharu positif Covid-19 dicatatkan menjadikan bilangan kumulatif 12 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 11:53 AM