Kawasan sekitar Stadium Tertutup Sukpa yang bakal di jadikan pusat kuarantin dan rawatan bagi pesakit Covid-19. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Kawasan sekitar Stadium Tertutup Sukpa yang bakal di jadikan pusat kuarantin dan rawatan bagi pesakit Covid-19. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang bersetuju menjadikan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi pesakit bukan warganegara yang berisiko rendah dan dijangka beroperasi esok.

Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, pada peringkat awal, seramai 115 pesakit positif Covid-19 dari Bentong akan ditempatkan di pusat itu.

Katanya, pembukaan Sukpa sebagai PKRC bertujuan memastikan situasi tidak mengganggu perawatan dan perkhidmatan sedia ada di hospital kerajaan serta memberi ruang kepada rakyat Pahang untuk mendapatkan rawatan.

"Keputusan ini juga mengambil kira kepentingan orang ramai dan kerajaan negeri memaksimumkan tahap keselamatan serta kawalan di pusat berkenaan supaya masyarakat setempat tidak tergugat dengan kehadiran mereka dan boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa.

"Pemilihan Stadium Sukpa sebagai PKRC ditentukan sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan untuk menampung kapasiti hospital apabila keadaan memerlukan.

"Pada masa sama, tiada tempat sesuai di Bentong kerana Institut Aminuddin Baki (IAB) sudah dijadikan pusat bagi petugas kesihatan dan pihak berkuasa bagi mengawal kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Ria Apartmen, Amber Court Apartmen dan Rumah Kongsi Kampung yang bermula hari ini hingga 23 Disember ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Zairasyahli Shah berkata, lokasi lain seperti Dewan MRSM Bentong juga tidak bersesuaian kerana tarafnya sebagai institusi pendidikan yang dibimbangi menimbulkan ancaman lain kepada pelajar dan ibu bapa.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai khususnya penduduk di Kuantan agar tidak bimbang dengan perkembangan terbaharu itu dan pihak berkuasa melaksana kawalan ketat ke atas pesakit di PKRC Sukpa, membabitkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain.

"Stadium Sukpa dipilih kerana kedudukan yang hampir dengan pusat rawatan intensif Covid-19 yang memudahkan pergerakan pegawai perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 2:38 PM