GAMBAR kenangan Allahyarham Ismail Berahim membaca laporan kisahnya yang dipaparkan di Harian Metro pada 1 November lalu. FOTO Ihsan Amin Nor Hakim Ismail
GAMBAR kenangan Allahyarham Ismail Berahim membaca laporan kisahnya yang dipaparkan di Harian Metro pada 1 November lalu. FOTO Ihsan Amin Nor Hakim Ismail
Redzuan Muharam


Kuala Krai: Pesakit tumor kapilari, Ismail Berahim meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini, malam tadi selepas lebih dua tahun menderita.

Berita pemergian Ismail, 68, dikongsikan anaknya, Amin Nor Hakim, 34.

Menurut Amin Nor Hakim, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Mesah Awang, 68, pada 9.40 malam.

"Pagi semalam, saya bawa ayah ke Klinik Kesihatan Dabong kemudian dia dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra dan sebaik tiba jam 12.30 tengah hari, ayah terus dimasukkan ke unit kecemasan.

"Jam 7 malam, ayah dimasukkan ke wad dan hanya seorang ahli keluarga saja dibenarkan masuk ke dalam jadi emak saja yang dapat teman ayah.

"Tidak lama kemudian, saya terima berita yang ayah sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Amin Nor Hakim, jenazah bapanya tiba di rumah mereka dekat Kampung Jelawang, Dabong, di sini kira-kira jam 3.45 pagi tadi.

"Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jelawang, Dabong 11 pagi ini," katanya.

Pada 1 November lalu, muka depan akhbar Harian Metro melaporkan kisah pengorbanan Amin Nor Hakim yang sanggup berjauhan dengan isteri dan tidak bekerja tetap demi menjaga bapanya yang menderita akibat tumor kapilari sejak Februari 2020.

Penyakit itu menyebabkan Ismail mengalami ketumbuhan pada hidung dan mulut selain buta mata kiri kerana tumor yang semakin merebak.

Demi menyara keluarga termasuk ibu, Amin Nor Hakim berusaha mencari rezeki dengan menjual asam keping daripada pokok ditanamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 10:56 AM