WARGA asing menukar modus operandi perniagaan. FOTO NSTP
WARGA asing menukar modus operandi perniagaan. FOTO NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kelicikan warga asing menukar modus operandi perniagaan ternyata memberi tamparan hebat kepada peniaga tempatan yang bergelut dengan kesan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Sesi Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, kegiatan itu perlu dibendung kerana akan meranapkan perniagaan rakyat tempatan yang sudah bertapak sejak puluhan tahun lalu di pasar borong dan harian Selayang.

Menurutnya, penguatkuasaan tetap dijalankan namun kelicikan mereka memerlukan pihak berkuasa khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selangkah ke depan untuk mengesan aktiviti haram itu.

Beliau berkata, warga asing yang terdesak mencari pendapatan muncul dengan kaedah lain selepas mereka tidak dibenarkan berniaga dan bekerja di pasar borong dan harian sejak Mac lalu.

"Tidak adil kepada peniaga tempatan yang menyewa tapak untuk bersaing dengan cara sedemikian kerana warga asing tidak perlu keluarkan wang untuk lesen dan sewa tapak.

"Kegiatan warga asing itu pasti membunuh perniagaan dijalankan peniaga tempatan yang baru kembali bernafas walaupun masih terkesan dengan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini persatuan mendapat maklum balas positif peniaga apabila perniagaan mereka bertambah baik selepas ketiadaan peniaga warga asing di pasar borong dan harian Selayang.

Namun kini, katanya, peniaga kembali mengeluh apabila warga asing kembali memulakan gerakan menakluki semula lokasi perniagaan borong bahan mentah terbesar di Malaysia itu.

"Kami dan beberapa persatuan lain mengutarakan masalah kepada DBKL dan harap mereka lebih agresif membanteras kegiatan warga asing terbabit," katanya.

"Kami tidak mahu apabila tapak warga asing semakin mengukuh, peniaga tempatan pula akan terhimpit di bumi sendiri untuk mencari sesuap nasi.

"Pelanggan juga digesa untuk tidak terus berurusan dan membeli keperluan daripada peniaga warga asing ini kerana permintaan yang tinggi menyebabkan kemelut itu sukar diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 7:00 AM