Mohammad Pandu Insani Yahya
Mohammad Pandu Insani Yahya
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Peniaga dan pemborong Pasar Borong dan Harian Selayang, di sini, perlu menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan segera supaya rantaian pembekalan bahan mentah lebih terjamin.

Pengerusi Cawangan Pasar Borong Harian Selayang, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, sepanjang tahun ini, tiga kali pasar borong terbesar negara itu terpaksa ditutup selepas beberapa peniaga dan pekerja disahkan positif wabak berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pembekalan bahan mentah bagi pasar harian dan peniaga makanan turut terhenti seketika.

"Ia sudah pasti menimbulkan kebimbangan kerana bekalan bahan mentah dari pasar borong Selayang antara pembekal utama khususnya di Lembah Klang.

"Kami sedar vaksin bukan jaminan untuk tidak dijangkiti, namun sekurang-kurangnya ada perlindungan tambahan kepada peniaga dan pekerja di pasar borong.

"Mereka berdepan dengan ramai pelanggan setiap hari dan risiko jangkitan sudah pasti lebih besar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, penutupan operasi pasar borong untuk sanitasi selama beberapa hari sebelum ini pasti menyukarkan peniaga kecil dan masyarakat mendapat bahan mentah.

Menurutnya, peniaga dan pekerja bersedia untuk divaksin kerana mereka tidak mahu Covid-19 terus mengancam perniagaan dan rantaian pembekalan bahan mentah negara.

"Kami ada berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan peniaga dan pekerja pasar borong.

"Proses vaksinasi boleh terus dibuat di pasar borong kerana ia lebih mudah dipantau dan masa diambil juga lebih singkat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 2:40 PM