Tapir jantan seberat 450 kilogram dijumpai mati ditepi jalan dekat Felda Perasu di percayai dilanggar kenderaan awal pagi ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Tapir jantan seberat 450 kilogram dijumpai mati ditepi jalan dekat Felda Perasu di percayai dilanggar kenderaan awal pagi ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seekor tapir jantan dianggarkan seberat 450 kilogram (kg) ditemukan mati dengan kecederaan di mulut dan badan selepas dilanggar kenderaan di Kilometer 34 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Felda Chiku Satu, hari ini.

Tapir terbabit dipercayai melintas jalan sebelum dirempuh kenderaan dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai hingga diseret sejauh 15 meter dan mati ditinggalkan di tepi jalan.

Seorang pengguna jalan raya, Kamaruddin Yusoff, 56, berkata, dia ternampak tapir mati di tepi jalan pada 8 pagi ketika dalam perjalanan bersama keluarga dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Katanya, pada mulanya dia menyangka ia bangkai lembu, tetapi apabila memberhentikan kenderaan dan mendekatinya, rupa-rupanya seekor tapir besar.

"Mungkin tapir itu mati selepas dirempuh kenderaan antara 2 hingga 4 pagi kerana keadaan luka di mulut dan badan masih berdarah.

"Kenderaan merempuh tapir itu tidak ada di lokasi kejadian, tetapi melihat kepada haiwan itu yang sebesar ibu lembu mungkin kenderaan terbabit rosak teruk," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif ketika dihubungi mengesahkan penemuan bangkai tapir seberat 450kg itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 7:11 PM