Tapir yang ditemui mati di tepi Jalan Jeli- Dabong, dekat Kampung Renyuk, hari ini. FOTO ihsan PERHILITAN
Tapir yang ditemui mati di tepi Jalan Jeli- Dabong, dekat Kampung Renyuk, hari ini. FOTO ihsan PERHILITAN
Siti Nor Hidayatidayu Razali


TAPIR ditemui mati selepas dilanggar sebuah kenderaan di tepi jalan di Jalan Jeli- Dabong, dekat Kampung Renyuk, Jeli, hari ini.

Haiwan berkenaan ditemui penduduk kampung pada 7 pagi sebelum memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohd Hasdi Husin berkata, sebaik dimaklumkan penemuan itu, empat anggotanya ke lokasi kejadian dan menemui seekor tapir yang sudah mati di tepi jalan.

Katanya, tapir berkenaan dilanggar sebuah kenderaan hingga menyebabkannya kecederaan di bahagian leher.

"Kita membawa pulang haiwan itu ke pejabat PERHILITAN Jeli untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya haiwan itu dalam perjalanan untuk mencari makanan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Soko Taku, Jeli.

Katanya, kemungkinan haiwan itu mahu melintas jalan sebelum dirempuh kenderaan pada waktu tengah malam kerana jalan di kawasan itu gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 4:15 PM