GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Tindakan enam lelaki warga asing bermain bola sepak di taman permainan awam Jalan SS 20/12 Damansara Kim, di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan polis kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka ditahan jam 8.13 malam oleh sepasukan polis kerana melakukan aktiviti sukan bola sepak di tempat permainan awam dalam tempoh PKP.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

"Sebiji bola warna hijau turut dirampas dan polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP 2.0.

"Kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan orang ramai dikompaun RM1,000 atau ditangkap dan seterusnya didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 4:12 PM