COP palsu yang dirampas pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah stor di Tanah Merah, Kelantan kelmarin. FOTO ihsan Kawalselia Padi dan Beras
COP palsu yang dirampas pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah stor di Tanah Merah, Kelantan kelmarin. FOTO ihsan Kawalselia Padi dan Beras
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Cop palsu tertera perkataan Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada aktiviti penyeludupan beras di Kelantan.

Cop rasmi berkenaan yang sudah tidak lagi digunakan untuk kelulusan permit pemindahan beras sejak setahun lalu membongkar kegiatan seorang lelaki yang ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tanah Merah Kelantan, kelmarin.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood berkata, salah satu cop berkenaan menggunakan nama Mohammad Salleh kononnya sebagai pembantu penguat kuasa juga didapati palsu kerana semakan menunjukkan tiada nama kakitangan yang dimaksudkan.

Katanya, ia digunakan sebagai bukti kebenaran pihak berkuasa setiap kali melalui sekatan jalan raya dan ia dipercayai berlanjutan sejak beberapa bulan lalu.

KETUA Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood.
KETUA Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood.

"Semakan kita turut mendapati, lelaki itu adalah pemborong yang menggunakan cop palsu untuk lepas dari pemeriksaan pihak berkuasa.

"Namun, kita tidak lagi menggunakan cop itu kerana sistem baru adalah secara atas talian, bukan lagi manual.

"Satu lagi cop yang kita temui adalah nama pengedar, kononnya di mana beras itu akan dihantar. Ini adalah tindakan yang salah dan kita akan ambil tindakan menyenaraihitamkan serta membatalkan lesen pemborong terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Semalam Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui sebuah stor yang menyimpan sejumlah beras seludup di Kampung Bendang Buyong, Jalan Jedok, Tanah Merah, Kelantan.

Turut ditahan dua lelaki berusia 24 dan 41 tahun yang dipercayai pemilik serta penjaga stor terbabit.

Penahanan itu membongkar kegiatan penyimpanan beras seludup di sekitar pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand yang berdekatan stor terbabit.

Dalam serbuan itu PGA turut merampas 45 tan beras yang dipercayai diseludup di sempadan Malaysia - Thailand untuk pasaran tempatan.

Azman berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan PGA untuk membanteras aktiviti penyeludupan beras terutama di sempadan negara.

"Kita ucapkan terima kasih kepada PGA dengan tangkapan itu hasil risikan selama dua hari. Banyak lagi lokasi kita akan gempur dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 2:42 PM