GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung dua kenyataan dimuat naik pengguna Facebook, Anonymous Malaysia membabitkan isu kebocoran data dan ancaman serangan siber.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara berkenaan setakat ini.

"Kami siasat perkara ini selepas menerima laporan berkaitan kenyataan video yang dimuat naik pihak berkenaan sebanyak dua kali di Facebook.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505/507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Anonymous Malaysia mengeluarkan amaran kedua, hari ini, berhubung isu pangkalan dan kebocoran data yang dikatakan timbul selepas kegiatan 'scammer' atau penipuan sering berlaku sejak 2015.

Pengguna Facebook itu memaklumkan punca utama ia berlaku kerana pembekal perkhidmatan swasta dan data kerajaan seperti maklumat peribadi digodam dan dibocorkan sebelum dijual kepada pihak ketiga.

Pada Selasa lalu, Anonymous Malaysia memberi amaran bahawa sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi digodam hingga hari ini.

Pada hari sama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 7:40 PM