Laporan portal Harian Metro sebelum ini mengenai penggodam didakwa menceroboh rangkaian telekomunikasi beberapa negara termasuk Malaysia untuk mengesan perjalanan orang Uighur.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini mengenai penggodam didakwa menceroboh rangkaian telekomunikasi beberapa negara termasuk Malaysia untuk mengesan perjalanan orang Uighur.
Muhammad Saufi Hassan


RANGKAIAN telekomunikasi sememangnya menjadi sasaran strategik terutamanya bagi penggodam untuk melaksanakan kegiatan pengintipan siber termasuk mencuri data maklumat pengguna untuk tujuan tertentu.

Beberapa media antarabangsa mendedahkan kumpulan penggodam yang didakwa mendapat sokongan China untuk melakukan pengintipan siber bagi memperoleh maklumat pelarian Uighur dengan menggodam kerangka data syarikat telekomunikasi.

Pakar keselamatan siber Fong Choong Fook berkata, jaringan sistem maklumat milik syarikat telekomunikasi adalah tarikan utama penggodam terutamanya bagi kumpulan yang ingin melaksanakan pengintipan siber.

"Bagaimanapun, penggodam mempunyai pelbagai cara yang lebih mudah seperti menggunakan aplikasi yang sudah tercemar dengan perisian hasad berbanding menggodam pangkalan data milik syarikat telekomunikasi.

"Menggodam pangkalan data syarikat telekomunikasi diakui lebih sukar kerana mempunyai lapisan keselamatan yang begitu rumit dan setiap cubaan pastinya mendapat perhatian sesebuah penyedia rangkaian itu dan mereka akan sentiasa menaik taraf kerangka mereka untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa penggodam.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa ada kumpulan penggodam yang cuba menggodam sistem maklumat syarikat telekomunikasi di rantau ini, namun saya sangat yakin perkara itu sangat sukar dan pangkalan data milik penyedia telekomunikasi bukan mangsa mudah untuk digodam," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Fong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LE Global Services Sdn Bhd (LGMS) iaitu sebuah firma keselamatan siber berkata, kaedah lebih mudah digunakan oleh penggodam adalah menerusi aplikasi yang sudah dicemari perisian hasad supaya setiap maklumat pemilik boleh dihantar tanpa diketahui pengguna.

Beliau juga percaya bahawa penyedia telekomunikasi tempatan sudah melaksanakan langkah pencegahan lebih awal dan setiap syarikat ini mempunyai kaedah pengesanan yang sangat efektif.

Sebuah firma keselamatan siber terkemuka iaitu Kaspersky hari ini mengeluarkan peringatan kepada pengguna dan pemain industri bahawa wujud ancaman daripada 'kumpulan penggodam China' yang giat melakukan aktiviti pengintipan siber.

Peringatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan media antarabangsa bahawa dakwaan kegiatan pengintipan siber yang disokong oleh kerajaan China terhadap beberapa penyedia telekomunikasi di rantau Asia Tenggara.

Kaspersky bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci butiran berkenaan dan hanya memaklumkan wujud ancaman yang akan dilancarkan menerusi perisian hasad untuk mencuri data pengguna menerusi pelbagai platform.

Berita berkaitan

China didakwa godam telco Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 8:40 PM