Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Sekurang-kurangnya dua jam setiap petang diperuntukkan 15 pemuda dari Kampung Kota Jembal di sini, untuk bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan dan mengecat batu nisan serta belindan yang uzur.

Mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun melakukan kerja itu atas rasa tanggungjawab untuk memastikan Tanah Perkuburan Islam Beris Arab, Kota Jembal terpelihara dan kemas.

Mohd Amirul Abd Kadir, 26, berkata, disebabkan komitmen kerja pada sebelah pagi, kerja pembersihan dan mengindahkan tanah perkuburan seluas 0.8 hektar itu hanya boleh dilakukan petang.

"Alhamdulillah kerja ini mendapat sokongan penduduk kampung yang rata-ratanya gembira melihat pusara ahli keluarga mereka lebih bersih dan terjaga.

"Selain itu, aktiviti sebegini memberi banyak faedah kepada anak muda, daripada buat perkara yang tidak bermanfaat, lebih baik berbakti sambil mencari saham akhirat sebegini," katanya.

AKTIVITI mengecat belindan dan batu nisan  di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
AKTIVITI mengecat belindan dan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, semalam. FOTO Syaherah Mustafa

Dia ditemui ketika sedang mengecat batu nisan dan belindan di tanah perkuburan itu, kelmarin.

Bagi Mohd Lokman Roslan, 28, pula, tanah perkuburan itu sudah seperti 'port' lepak buatnya, apatah lagi dia dan rakannya turut diajar menjadi penggali kubur daripada generasi terdahulu.

Katanya, aktiviti itu wajar diikuti anak muda masa kini supaya lebih memahami kematian dan hari akhirat selain membentuk insan baik.

Menurutnya, cat yang digunakan mereka disumbang beberapa individu yang turut memuji hasil kerja mereka yang kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 7:30 AM