TENGKU Datuk Seri Zafrul ketika menyampaikan laporan Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2021, PERMAI, KITA PRIHATIN, PENJANA & PRIHAT. FOTO FB TENGKU ZAFRUL
TENGKU Datuk Seri Zafrul ketika menyampaikan laporan Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2021, PERMAI, KITA PRIHATIN, PENJANA & PRIHAT. FOTO FB TENGKU ZAFRUL
Bisnes HM

BAYARAN fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk pengkreditan penuh memandangkan ia membabitkan jumlah besar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ada pihak yang keliru mengenai bayaran BPN 2.0 yang mula disalurkan sejak 21 Januari lalu.

"Saya ingin memohon agar penerima bersabar, kerana ini adalah satu jumlah yang besar, dan memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk pengkreditan sepenuhnya kepada semua penerima.

"Saya juga ingin berkongsi bahawa dari 21 hingga 24 Januari 2021, sebanyak 6.4 juta akaun telah dikreditkan manakala, dari 25 hingga 29 Januari 2021, 3.8 juta akaun sedang atau akan dikreditkan.

"Mulai 25 Januari 2021, 750,000 penerima yang tiada akaun bank sudah mula membuat tuntutan tunai di cawangan BSN di Semenanjung Malaysia bagi penerima B40 dan M40," katanya dalam laporan Laksana ke-38 Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2021, Permai, Kita Prihatin, Penjana dan Prihatin, hari ini.

Menurutnya, kerajaan berharap bantuan yang dipercepatkan ini sedikit sebanyak dapat membantu aliran tunai 11.06 juta penerima bujang dan isi rumah di saat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Selain isu BPN, ada pihak mengeluh bahawa Program Subsidi Upah (PSU 3.0) yang ditambahbaik melalui Pakej Bantuan Permai tidak mencukupi.

"Saya ingin mengulangi bahawa langkah PSU 3.0 ini perlu dilihat bersama bantuan-bantuan lain, dan tidak patut dilihat secara bersendirian.

"Peruntukan terkini bagi PSU pada tahun 2021 ialah RM3 bilion dengan perluasan skop untuk semua syarikat terjejas PKP.

"Malah, PSU 3.0 akan menerima penambahan peruntukan RM500 juta lagi, menjadikan jumlahnya RM1.5 bilion di bawah Permai. Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan pada Belanjawan 2021.

"Ini juga bermakna bahawa program PSU yang diperkenalkan bagi tahun 2020 dan 2021 secara keseluruhannya bernilai RM20.7 bilion," katanya.

Sementara itu, katanya, bagi Geran Khas Prihatin Permai (GKP Permai), pihaknya pasti ramai PKS mikro yang tertanya-tanya bagaimana manfaat ini boleh didapati.

"Berikutan pelaksanaan PKP di hampir seluruh negara kecuali Sarawak, GKP Permai akan menerima suntikan tambahan RM150 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM800 juta.

"Bagi PKS mikro yang telah pun menerima GKP sebelum ini, mereka tidak perlu mendaftar semula dan bantuan RM1,000 akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.

"Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM2.55 bilion kepada PKS mikro melalui program GKP dan GKP 2.0.

"Di bawah GKP Permai, jumlah keseluruhan yang telah atau akan disalurkan kepada rakyat adalah sebanyak RM3.35 bilion, hanya untuk langkah GKP saja," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 3:13 PM