SEORANG anggota bomba mengangkat bayi yang terperangkap di dalam kereta ibunya. FOTO Melvin Joni
SEORANG anggota bomba mengangkat bayi yang terperangkap di dalam kereta ibunya. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Kota Samarahan: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan selamat selepas terperangkap lebih setengah jam di dalam kereta ibunya di Flat Taman Desa Ilmu, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan Ebby Herwandy berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.18 pagi daripada jiran mangsa selepas ibu bayi berkenaan meminta pertolongan.

"Bayi itu dibiarkan di dalam kereta sementara ibunya pergi membuang sampah, bila hendak masuk ke dalam kereta, dia mendapati keretanya terkunci," katanya yang dihubungi, hari ini.

Ebby berkata, susulan laporan diterima, anggota BBP Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan bayi berkenaan.

"Ketika bomba berusaha membuka pintu kereta terbabit, bapa mangsa sampai di lokasi dari tempat kerja.

"Bapa mangsa membuka pintu kereta dengan menggunakan kunci pendua untuk mengeluarkan bayi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 4:03 PM