Tinjauan harga barangan di Pasar Kajang berikutan kenaikan mendadak harga barangan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Tinjauan harga barangan di Pasar Kajang berikutan kenaikan mendadak harga barangan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Mohd Amin Jalil


Seremban: Wujud kebimbangan terhadap kenaikan harga barangan terutamanya bekalan makanan mentah sejak wabak pandemik Covid-19, melanda negara.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, terdapat trend kenaikan berterusan terhadap harga barangan susulan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, bekalan barangan keperluan dilihat mencukupi dan mampu menampung keperluan ramai.

"Bagaimanapun kebelakangan ini terutama ketika PKP dikuatkuasakan, rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga barangan terutamanya bahan mentah.

"Sesuatu mesti segera dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar memastikan ia mencukupi tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat," katanya tadi.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, ramai rakyat negara ini kehilangan mata pencarian akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, kuasa beli segelintir rakyat juga berada pada tahap yang genting dan tanpa intervensi daripada kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin, tetapi juga hidup dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai kecukupan makanan.

Justeru katanya, tindakan dan inisiatif pemantauan harga makanan dan bekalan barangan keperluan asas mesti segera di pertingkatkan.

"Kerajaan juga wajar menggalak dan menghulurkan bantuan untuk pertanian bandar seperti menggunakan tanah lapang di persekitaran rumah bagi projek menanam sayuran sebagai langkah mengurangkan kos," katanya.

Beliau berkata, pemberian baucer makanan dan barangan runcit seharusnya dipertimbangkan segera seperti dilaksanakan di beberapa negara maju.

"Kaedah ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang terhimpit, ia juga dapat menjana pendapatan pemilik dan pengusaha kedai runcit serta peniaga kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 5:30 PM