Ahmad Syukri (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada  Mohd Arifin mewakil menteri KPDNHEP di lobi KPDNHEP, hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Ahmad Syukri (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Mohd Arifin mewakil menteri KPDNHEP di lobi KPDNHEP, hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Kasihani rakyat. Kenaikan harga barangan makanan seperti sayur-sayuran, ayam, roti, telur ayam dan minyak masak dengan peningkatan harga dua kali ganda perlu segera diatasi," ujar Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) , Ahmad Syukri Ab Razab.

Beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan kerajaan segera menangani isu kenaikan harga barang bagi mengelak sebarang bentuk urus niaga yang tidak telus dalam rantaian bekalan seterusnya menindas kumpulan pengguna dan juga peniaga.

"AMK berpandangan KPDNHEP perlu segera campur tangan bagi mengekang sebarang bentuk manipulasi harga yang mungkin dibuat oleh pihak tertentu tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurutnya, kenaikan mendadak barangan makanan pastinya akan menekan rakyat terutama golongan asnaf dan B40.

Katanya, kenaikan harga barangan keperluan asas ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat yang berhadapan pelbagai kesukaran ketika pandemik Covid-19.

"Selain golongan B40, kenaikan harga barang ini turut dirasai golongan M40 kerana berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi lain seperti kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini, tadi.

Memorandum diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam, Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP, Mohd Arifin A.M Noordin mewakili menteri.

Ahmad Syukri berkata, laporan media menunjukkan harga sayur-sayuran meningkat hingga dua kali ganda iaitu sebanyak RM2 hingga RM12 mengikut jenis sayur antaranya kubis, kubis bunga, sawi pendek, sawi, brokoli dan kacang buncis.

Menurutnya,harga ayam juga terus mencatatkan kenaikan sehingga mencecah RM9.80 sekilogram (kg), berbanding lingkungan harga RM5.50 hingga RM7.00 se kg yang pernah dinikmati pengguna sebelum ini.

Katanya, harga telur ayam turut merekodkan kenaikan mendadak sehingga mencecah RM3 sepapan sejak sebulan lalu.

"Berdasarkan maklumat diterima daripada peniaga, terdapat kenaikan harga pada barangan runcit lain seperti tepung, sardin dalam tin, susu pekat, beras, rempah kari, roti dan sos.

"Walaupun kenaikan ini dalam kadar yang kecil iaitu di antara 20 sen sehingga RM0.60 bagi sesuatu barang, namun kenaikan ini tetap menyebabkan kos perniagaan meningkat yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna terakhir," katanya.

Tamat/

Caption.

PUTRAJAYA 6 DISEMBER 2021.Ahmad Syukri (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Mohd Arifin mewakil menteri KPDNHEP di lobi KPDNHEP, hari ini.Pix NSTP/SAMADI AHMAD.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:11 PM