SEBUAH kapal pengangkut yang ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah kerana sauh tanpa kebenaran pada kedudukan 15 batu nautika barat Kuala Muda. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
SEBUAH kapal pengangkut yang ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah kerana sauh tanpa kebenaran pada kedudukan 15 batu nautika barat Kuala Muda. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sebuah kapal pengangkut ditahan kerana didapati bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 15 batu nautika barat Kuala Muda dekat Sungai Petani, semalam.

Kapal itu ditahan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan pada 5.45 petang melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 491 B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM).

"Jika sabit kesalahan, kapal terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 12:35 PM