ANTARA barang yang dirampas. FOTO ihsan Polis
ANTARA barang yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan lima lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di kondominium di Seputeh, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan pada 5.15 petang.

"Dalam serbuan itu, kami menahan lima lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.

"Kami turut merampas empat telefon bimbit, enam monitor, tiga komputer, tiga papan kekunci, tiga tetikus, satu kad akses dan dua modem," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, siasatan awal mendapati rumah itu dijadikan sebagai tempat menjalankan aktiviti judi dalam talian bagi pasaran Korea.

"Difahamkan sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram dan beroperasi 24 jam setiap hari.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti judi haram.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 danHotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 10:49 AM