Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 16 lagi kluster baharu Covid-19 di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster yang dilaporkan itu membabitkan 11 kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko dan satu kluster berkaitan keagamaan.

"Kluster tempat kerja adalah Kluster Jalan Terolak di Kuala Lumpur, Kluster Kota Muhibbah (Perak), Kluster Silimpopon (Sabah), Kluster Seri Bayu (Johor), Kluster Sebrang (Sabah).

"Kluster Orion (Kedah), Kluster Tampoi Tujuh (Johor), Kluster Jalan Sempadan (Johor), Kluster Jalan Slim (Perak), Kluster Pasar Borong KL 2 (Kuala Lumpur) dan Kluster Jalan Canang Emas (Selangor)," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dua kluster komuniti iaitu Kluster Kampung Tanah Merah di Terengganu dan Kluster Gunung Raya di Kedah.

"Kluster Taman Sejahtera membabitkan daerah Kampar dan Kinta di Perak. Kluster ini membabitkan aktiviti keagamaan di sebuah institusi swasta di Taman Sejahtera Utama, Kampar, Perak.

"Setakat hari ini, sejumlah 70 individu disaring dan 35 daripadanya dikesan positif Covid-19," katanya.

Katanya, kluster kumpulan berisiko iaitu Kluster Mandin Jaya di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang pula membabitkan kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas.

Kakitangan Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur  kelihatan keletihan selepas membuat rawatan ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai pada PKP 2.0. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Kakitangan Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur kelihatan keletihan selepas membuat rawatan ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai pada PKP 2.0. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Beliau berkata, setakat ini sejumlah 133 individu disaring dan daripada jumlah itu 29 dikesan positif.

Tambah beliau, Kluster Jalan kelapa membabitkan pekerja dan penghuni di sebuah pusat jagaan di Bandar Kajang, Selangor, yang mana sebanyak 21 kes positif Covid-19 sudah dikesan setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 7:02 PM