GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia mengenal pasti 10 lagi kluster baharu Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Sabah, Johor, Melaka dan Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu adalah Kluster Jalan Pandan Indah, Kluster DTI Sepang 2, Kluster Taman Ikan Jinak, Kluster Jalan Mawila, Kluster Jalan Perak, Kluster Jalan Menerung, Kluster Tapak Bina Jalan Yap, Kluster Rantau Lada, Kluster Pantai Peringgit dan Kluster Jalan Mohammed Salleh.

Menurutnya, Kluster Jalan Pandan Indah membabitkan tempat kerja di Hulu Langat, Selangor di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 17 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah syarikat di Jalan Pandan Indah, Kuala Lumpur dengan 77 kes dikesan setakat ini.

"Kluster DTI Sepang 2 membabitkan pusat tahanan di Sepang, Selangor di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 3 Januari lalu hasil saringan tahanan sebelum dihantar pulang ke negara asal dengan 80 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Taman Ikan Jinak membabitkan majlis hari keluarga di daerah Tuaran dan Kota Belud, Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dengan 21 kes dikesan setakat ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Mawila pula membabitkan daerah Kota Kinabalu, Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini adalah anggota tentera di Wisma Pelayaran Tentera Laut Diraja Malaysia, Sepanggar, Jalan Mawila, Kota Kinabalu.

"Kes dilaporkan positif Covid-19 pada 13 Januari lalu hasil saringan sebelum rentas negeri di mana 15 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Jalan Perak membabitkan tempat kerja di Johor Bahru di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 31 Disember lalu hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Perak 4, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dengan 35 kes dikesan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, Kluster Jalan Menerung membabitkan daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 17 Januari lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja membabitkan pengawal keselamatan di Apartment One Menerung, Jalan Menerung, Bangsar dengan 23 kes dikesan.

"Kluster Tapak Bina Jalan Yap membabitkan daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 17 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan di Jalan Yap Kwan Seng, Kampung Baru dengan 21 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Rantau Lada membabitkan Temerloh dan Maran, Pahang di mana kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri dari Selangor dengan 19 kes dikesan setakat ini," katanya.

Menurutnya, Kluster Pantai Peringgit membabitkan Melaka Tengah dan Jasin, Melaka di mana kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu hasil saringan indvidu bergejala dengan 24 kes dikesan.

"Kluster Jalan Mohammed Salleh pula membabitkan tempat kerja di Labuan di mana kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dengan 12 kes dikesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:39 PM