RAMLI (kanan) di stor barang kes selepas mengadakan sidang media. FOTO Edmund Samunting
RAMLI (kanan) di stor barang kes selepas mengadakan sidang media. FOTO Edmund Samunting
Norasikin Daineh

BARANGAN berkaitan jenayah judi siber bernilai RM1.2 juta dilupuskan dalam majlis Pelupusan Barangan Kes di Stor Barang Kes Berpusat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah Jalan Padang Tembak, Kota Kinabalu, hari ini.

Antara 5,544 barangan kes yang dilupuskan termasuk peralatan elektrik dan komponen komputer membabitkan 96 kertas siasatan kes bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang sudah selesai dan mendapat arahan daripada mahkamah untuk dilupuskan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, pelupusan barang kes itu membabitkan kes yang sudah selesai sejak 2006 hingga 2015.

"IPD KK mengambil tindakan untuk melupuskan barang kes judi siber menerusi kaedah E-waste selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Bahan sisa buangan elektronik (E-waste) adalah barang yang tidak digunakan lagi dan dikategorikan sebagai bahan buangan kerana mempunyai ciri mudah terbakar, boleh menghakis, toksik dan memberi impak kepada kesihatan manusia serta alam sekitar," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya lagi, polis memandang serius mengambil tindakan membendung kegiatan perjudian itu dari semasa ke semasa dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang bebas melakukan kegiatan judi siber di bandaraya Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 4:59 PM