FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Muhammad Apendy Issahak


REMAJA lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas tuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, pada 16 April lalu.

Mangsa adalah anak jagaan ibunya yang bekerja sebagai pengasuh.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Bagaimanapun, Nabihah menetapkan 26 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan akhlak tertuduh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kehadiran pegawai penasihat sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, remaja yang difahamkan sudah tidak lagi bersekolah itu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah ibunya di sebuah taman perumahan di Kinta, antara 11 pagi hingga 4 petang, 16 April lalu.

Remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan serta diperintahkan pengawasan polis tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun mengikut Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah.

Nabihah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan tertuduh untuk berhubung dengan mangsa dan keluarga mangsa dengan apa cara komunikasi sekalipun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 4:20 PM