ORANG ramai memenuhi pasar raya untuk membeli barang keperluan menjelang pelaksanaan PKP, Jumaat ini. FOTO ZAID SALIM
ORANG ramai memenuhi pasar raya untuk membeli barang keperluan menjelang pelaksanaan PKP, Jumaat ini. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak selama 14 hari, bermula Jumaat ini menyebabkan pasar raya di negeri ini diserbu orang ramai yang mengambil kesempatan untuk membeli barangan keperluan.

Tinjauan Harian Metro malam tadi mendapati beberapa pasar raya utama di bandar ini dikunjungi orang ramai bermula petang semalam.

Tinjauan di Pasaraya Sabasun Hyperunchit Sdn Bhd di sini, mendapati orang ramai beratur panjang bagi urusan pembayaran di 12 kaunter disediakan.

Malah, orang ramai terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan troli yang disediakan di pasar raya berkenaan.

Rata-rata pengguna memberi alasan sama iaitu tidak mahu keluar ke pasar raya berulang kali apabila PKP dilaksanakan, Jumaat ini.

Sementara itu, Pengurus Sabasun Hyperunchit Sdn Bhd, Mohd Azuan Sa'ad berkata, pihaknya tidak menyangka berlaku pembelian panik susulan pengumuman PKP itu.

Katanya, berdasarkan kehadiran pengunjung malam tadi, pihaknya mengambil keputusan untuk melaksanakan SOP PKP bermula hari ini bagi mengelak kesesakan.

"Berdasarkan keadaan malam ini, tidak mustahil jumlah pengunjung melebihi pada hari biasa dan kita akan memperketatkan jumlah kemasukan dalam satu-satu masa bagi mengelak kesesakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 12:52 AM