Orang ramai beratur untuk masuk ke pasar raya bagi mendapatkan bekalan makanan. FOTO Hajar Umira Md Zaki
Orang ramai beratur untuk masuk ke pasar raya bagi mendapatkan bekalan makanan. FOTO Hajar Umira Md Zaki
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Berikutan pengumuman pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang diumumkan kerajaan semalam, kebanyakan pasar harian dan pasar raya besar diserbu orang ramai hari ini.

Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu kota bermula jam 9 pagi mendapati orang ramai mula mengunjungi Pasar Chow Kit berikutan hujung minggu dan juga membuat persiapan menghadapi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Pengunjung, Muhammad Alwin Tan Abdullah, 64, berkata, dia membuat keputusan untuk membeli barangan keperluan asas sebagai stok sementara.

"Saya terpaksa beratur selama 20 minit sebelum dapat masuk ke pasar disebabkan ramai orang,

"Namun, alhamdulillah saya sempat membeli barangan keperluan seperti sayur, daging dan buah-buahan," katanya.

Tinjauan di sebuah pasar raya besar di Ampang turut mendapati jumlah pengunjung yang lebih ramai beratur bagi memasuki premis berkenaan.

Pengunjung, Roosmawati Ab Rahman, 44, berkata, dia tidak membuat pembelian panik kerana sektor peruncitan dan kedai kedai masih dibuka sepanjang tempoh kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh itu.

"Ramai juga yang datang hari ini kerana rutin hujung hujung bulan untuk membeli barang keperluan rumah.

"Saya sendiri pun tidak panik dengan langkah diumumkan kerajaan kita pernah beberapa kali melaluinya dan pasar raya tidak ditutup," katanya.

Pengunjung dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan menjaga jarak antara satu sama lain serta memakai dua pelitup muka.

Tinjauan seterusnya di pasar raya besar di Wangsa Maju, mendapati orang ramai menunggu giliran memasuki premis menggunakan nombor giliran bagi menjaga jumlah pengunjung masuk dalam satu satu masa.

Suri rumah, Nomi Azura Muhammad Idris, 54, berkata menjadi rutin baginya membeli barang keperluan dapur bagi simpanan untuk satu bulan.

"Nak kata pembelian panik itu tidak, cuma saya memang selalu beli barang rumah banyak sekali gus dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 5:55 PM