MAYAT mangsa bot karam ditemukan terdampar di pantai. FOTO ihsan APMM
MAYAT mangsa bot karam ditemukan terdampar di pantai. FOTO ihsan APMM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Mayat mangsa bot karam selepas dipukul ombak di perairan Kampung Kuala Abai, Kota Belud, ditemukan terdampar di pantai berhampiran, hari ini.

Mayat Nojan Sitong, ditemukan kira-kira 7 pagi oleh penduduk kampung yang turut sama melakukan pencarian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk bedah siasat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, berikutan penemuan itu, operasi pencarian ditamatkan pada 8.45 pagi, hari ini.

"Ini berikutan maklumat yang diterima berkenaan bot gentian kaca yang dinaiki dua nelayan karam dipukul ombak di sekitar perairan berkenaan.

"Adik mangsa, Norzeli Sitong, 35, berjaya berenang ke kawasan pantai berdekatan sebelum membuat laporan mengenai kejadian yang menimpa mereka," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rosli berkata, APMM merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam (JPM) serta semua yang terlibat sepanjang operasi carilamat dijalankan.

Sehubungan itu, Mohd Rosli mengingatkan komuniti maritim terutamanya di perairan Sabah untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau bencana di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan di talian 088-387774 atau talian MERS 999, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 12:09 PM