BOT nelayan yang ditahan APMM di kedudukan 1.20 batu nautika timur Tanjung Tavajun, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
BOT nelayan yang ditahan APMM di kedudukan 1.20 batu nautika timur Tanjung Tavajun, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan selepas dikesan menggaji 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia, di kedudukan 1.2 batu nautika timur Tanjung Tavajun, Kota Kinabalu, semalam.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya mengesan bot nelayan tempatan berkenaan ketika melakukan rondaan biasa di kawasan perairan itu pada 11 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati 19 kru warga Indonesia berada di dalam bot berkenaan dan gagal mengemukakan dokumen sah.

"Semua yang ditahan berusia 20 hingga 44 tahun dan lesen bot nelayan turut didapati sudah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata, bot dan kru kemudiannya dibawa ke Jeti APMM Kota Kinabalu di Sepanggar untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, komuniti maritim diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kejadian kecemasan di laut menerusi talian 088-387774 atau MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:14 PM