REMAJA lelaki meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan di kawasan pejalan kaki di PPR Jinjang Utara.  FOTO Ihsan Pembaca
REMAJA lelaki meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan di kawasan pejalan kaki di PPR Jinjang Utara. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Remaja lelaki meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan di kawasan pejalan kaki di Program Perumahan Rakyat (PPR) Jinjang Utara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4 pagi hari ini.

"Ketika ditemui, mangsa yang berusia 17 tahun berada dalam keadaan terlentang dan tidak bergerak di laluan pejalan kaki di bawah PPR terbabit.

"Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap ke tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan cedera pada kepala mangsa.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Selayang pada 4.30 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, siasatan awal dilakukan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden berkenaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 9:36 PM