laporan Harian Metro sebelum ini.
laporan Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Besut: Unit Khidmat Psikologi dan Kaunseling (UKPK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan khidmat bantuan psikososial kepada seorang lelaki yang pernah tular kerana membina 11 bonggol di Kampung Padang Luas, Jertih, di sini.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia UKM Dr Nazirah Hassan berkata, beliau sudah menghubungi lelaki terbabit, Nor Muhamad Roslam Harun, 40, bagi memaklumkan bantuan yang bakal disalurkan.

"Setelah kami berbual menerusi telefon, Nor Muhamad Roslam mengaku bahawa beliau mungkin mengalami masalah kesihatan mental, namun tidak tahu bagaimana dan di mana untuk mendapatkan bantuan...sebab itulah juga beliau bersetuju untuk menerima khidmat UKPK," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Tambah Nazirah, beberapa sesi rawatan akan dilaksanakan secara dalam talian bermula minggu hadapan dan sebagai permulaan, beliau perlu menentukan status psikologi Nor Muhamad Roslam.

"Penilaian secara menyeluruh untuk menentukan tahap kesihatan mental dan aspek persekitaran sosial yang mungkin mempengaruhi tingkah lakunya dan kami juga akan lihat sekiranya ada tekanan dari sekeliling termasuklah unsur buli yang mungkin berlaku.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cepat menghukum tindakan Nor Muhamad Roslam berikutan kemungkinan masalah kesihatan mental dialaminya sedangkan mereka yang mengalami masalah sedemikian memerlukan sokongan dan perhatian daripada orang sekeliling," katanya.

Baru-baru ini, tindakan Nor Muhamad Roslam membina 11 bonggol menggunakan tar di jalan tepi rumahnya telah mendapat perhatian seluruh negara.

Dia bertindak demikian kerana mendakwa tidak tahan dengan sikap segelintir pengguna jalan itu memandu laju sehingga memberi tekanan kepadanya namun kes itu selesai apabila Nor Muhamad Roslam membuang semula bonggol itu pada 13 Januari lalu selepas mendapat nasihat polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 2:29 PM