RAFIQ (tengah) dan Azran (dua kanan) bersama Nor Arzlin (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul (kiri) dan Ketua Pemasaran Kumpulan MPB, Amir Rasyidi Johari (dua kiri) pada Majlis Pelancaran MPB FIT-Tastic di Sri Pentas, hari ini. FOTO Rohanis Shukri
RAFIQ (tengah) dan Azran (dua kanan) bersama Nor Arzlin (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul (kiri) dan Ketua Pemasaran Kumpulan MPB, Amir Rasyidi Johari (dua kiri) pada Majlis Pelancaran MPB FIT-Tastic di Sri Pentas, hari ini. FOTO Rohanis Shukri
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Media Prima Berhad (MPB) menawarkan program khidmat saringan, penilaian, bimbingan dan pemantauan kesihatan fizikal dan mental berterusan kepada kakitangannya secara percuma mulai hari ini.

Program MPB FIT-Tastic itu dilaksanakan dengan kerjasama Naluri, sebuah penyedia khidmat kesihatan mental dan fizikal dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja sihat dan seimbang dari segi mental dan fizikal.

Program itu menawarkan bantuan sokongan 24 jam kepada kakitangan yang mahu mendapatkan status tahap kesihatan mental dan fizikal semasa mereka melalui aplikasi kesihatan digital Naluri.

Ia sekali gus mengurangkan masalah kakitangan seperti ketidakhadiran, keletihan, tekanan, kemurungan, kebimbangan dan sebagainya.

Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali berkata, usaha berkenaan bagi memastikan semua warga MPB dapat memanfaatkan sepenuhnya aplikasi Naluri untuk kesejahteraan kesihatan mental dan fizikal mereka.

"Aspek kesejahteraan semua warga MPB memang satu keutamaan syarikat oleh sebab itu kami sentiasa meneliti inisiatif baharu untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan semua kakitangan.

"Ini juga hasil townhall yang dilakukan awal tahun ini apabila kami dapat tahu dan menerima maklum balas atau salah satu persoalan yang banyak warga MPB tanya ialah mengenai kesihatan mental.

"Melalui penelitian itu, kami dapati ada aplikasi Naluri ini, satu syarikat 'start up' tempatan yang berjaya menggunakan teknologi canggih secara 24 jam yang boleh memastikan sebuah struktur kesejahteraan dan kesihatan mental dan fizikal semua warga MPB," katanya selepas Majlis Pelancaran MPB FIT-Tastic di Sri Pentas di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Sumber Manusia MPB, Nor Arzlin Redzwan serta Ketua Pegawai Eksekutif Naluri, Azran Osman Rani.

Katanya, MPB yakin kelebihan aplikasi dan perkhidmatan percuma itu akan menarik minat lebih ramai kakitangan mendaftar dan memanfaatkannya.

"Semua maklumat kesihatan kakitangan MPB hanya diketahui pakar atau jurulatih mereka dalam aplikasi itu sahaja dan tidak memerlukan mereka bertemu secara terbuka atau membuat janji temu selain banyak fungsi lain.

"Kami berharap ini akan memberikan sistem sokongan kepada kakitangan, namun terpulang kepada mereka tetapi kami yakin sambutan program ini Insya Allah bagus.

"Dalam masa enam bulan, kami akan melancarkan program tegar untuk pastikan lebih ramai warga MPB menggunakan aplikasi ini bukan hanya di Lembah Klang, malah diperluaskan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Azran berkata, inisiatif berkenaan membolehkan kakitangan MPB menerima khidmat bantuan bimbingan, nasihat dan pemantauan daripada 100 profesional seperti kaunselor psikologi, pemakanan, doktor pelbagai disiplin, jurulatih kecergasan, farmasi dan perancang kewangan secara 24 jam.

"Tekanan tempat kerja dan kewangan adalah tekanan paling utama pekerja di Malaysia, jadi kami menyediakan akses rundingan pakar profesional pelbagai bidang disiplin hanya di hujung jari secara 24 jam tanpa perlu membuat temujanji.

"Selain khidmat nasihat pakar, ada fungsi lain seperti bimbingan cara pemakanan sihat, tabiat tidur sihat, mengurus masalah kerja atau kewangan dan sebagainya.

"Dengan gunakan data kuantitatif kakitangan menerusi aplikasi itu, kita dapat membina model untuk menjangkakan bagaimana tahap kesihatan seseorang kakitangan itu akan berkembang mungkin untuk tempoh tiga atau lima tahun akan datang sekali gus dapat mengawal dan mencegah isu kesihatan mental dan fizikal kakitangan terbabit daripada menjadi parah dengan lebih awal," katanya.

Katanya, pihaknya tidak akan menyediakan perubatan, namun jika mengesan risiko kesihatan kepada pengguna aplikasi ini, pihaknya akan memberikan bimbingan serta panduan selanjutnya bagi memastikan kakitangan itu menerima rawatan sewajarnya.

Difahamkan, MPB dijangka melaksanakan program sama di Balai Berita Bangsar pada Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 3:48 PM