BERAS diseludup dari Thailand yang dirampas. FOTO Ihsan PGA9
BERAS diseludup dari Thailand yang dirampas. FOTO Ihsan PGA9
Siti Rohana Idris


Tumpat: Seorang peraih ditahan Pasukan Gerakan Am selepas disyaki menyeludup beras dari Thailand untuk pasaran tempatan.

Peraih beras berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah pasar di sini pada 8 pagi hari ini bersama sejumlah guni mengandungi beras yang dimuatkan dalam kenderaannya.

Pegawai Pemerintah Medan Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika sepasukan anggota daripada Batalion 9 PGA sedang melakukan rondaan di sekitar pasar terbabit, mereka ternampak kereta Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kami mendekati kenderaan tanpa pemandu itu dan hasil pemeriksaan menjumpai 685 kilogram (kg) beras daripada Thailand dianggarkan bernilai RM2,740.

"Tidak lama kemudian, pemilik kenderaan yang juga peraih beras tampil dan mengaku semua beras itu miliknya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, semua beras itu termasuk kenderaan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KSPBN) 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 9:52 PM