Raja Noraina Raja Rahim


SERAMAI 649 individu yang masih berdegil dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan Polis Diraja Malaysia, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berganda berbanding 320 individu yang ditahan kelmarin.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama

“Ini menunjukkan masih ramai yang ingkar PKP dan polis diberi kebenaran untuk mengambil tindakan tegas. Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 73 individu sudah dihadapkan ke mahkamah.

“Mungkin selepas ini, kita akan mengeluarkan kompaun kepada pesalah selain tindakan mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.



Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, walaupun pelaksanaan PKP sudah memasuki hari ke-11 semalam, namun jumlah kenderaan menunjukkan pertambahan sekali ganda.

“Sebanyak 301,938 kenderaan diperiksa menerusi 997 sekatan jalan raya semalam berbanding 240,544 kenderaan kelmarin,” katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 3,223 premis diperiksa oleh PDRM dan sebahagiannya diarah tutup kerana bukan premis penting yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 3:11 PM