Muhaamad Hafis Nawawi


Kuching: Kerajaan melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai institusi yang akan membantu anak Keluarga Malaysia dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Yayasan Keluarga Malaysia adalah manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, yang dizahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan pandemik.

"Seterusnya, Yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia lain yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.

"Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap pada pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, di sini, malam ini.

Beliau menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini.

"Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian.

"Hari ini, dalam usaha kita memeta perjalanan pemulihan, melalui pelbagai program dan inisiatif, saya ingin berkongsi kisah untuk kita insafi bersama," katanya.

Foto hiasan
Foto hiasan

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyingkap kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih akibat pandemik Covid-19 baru-baru ini.

"Adik Nazurah Nabilah Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga tujuh adiknya, manakala adik Hadrami Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama empat adiknya.

"Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia tiga tahun. Anak-anak ini adalah antara 5,173 anak Keluarga Malaysia yang menjadi yatim dan yatim piatu, kerana wabak Covid-19," katanya.

Beliau turut meluahkan simpati terhadap anak-anak itu yang terpaksa mengalas tanggungjawab besar selepas kehilangan tempat mereka bergantung hidup.

"Yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa.

"Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan seusia mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 9:33 PM