TUNKU Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff pada majlis perasmian Sidang Dewan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kelima. FOTO Amran Hamid
TUNKU Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff pada majlis perasmian Sidang Dewan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kelima. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


SULTAN Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan pemimpin politik, ilmuan agama dan masyarakat supaya tidak mengambil kesempatan menggunakan media sosial bagi mewujudkan suasana tidak harmoni sehingga berlaku permusuhan sesama umat Islam.

Baginda bertitah, di era kini, kecepatan dan kepantasan maklumat bergerak sudah menjadi satu budaya hidup.

"Dalam konteks negara kita, lebih 17 juta penduduk mempunyai akses kepada ruang maya di mana separuh daripadanya mempunyai akaun Facebook (FB).

"Pelbagai maklumat boleh diperoleh dengan bebas, tanpa ada satu sistem tapisan yang boleh mengkelaskan antara hak atau yang batil," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kelima di Wisma Darulaman, Alor Setar, hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sultan Abdul Halim bertitah, natijahnya, fitnah dan cerita palsu menjadi tular dan dijaja serata tempat di mana senario ini menjadi virus yang memporak peranda dan mengelirukan rakyat, memecahkan belah dan mengucar kacirkan ukhuwah yang selama ini terjalin indah.

"Ilmuan agama tidak terkecuali turut mengeluarkan fatwa, tuduh menuduh dan berdebat di ruang maya sehingga masyarakat sendiri berbelah bahagi.

"Apatah lagi, pimpinan politik dan individu berkepentingan mengambil kesempatan mewujudkan suasana tidak harmoni dan menghangatkan lagi permusuhan dan polemik sesama umat Islam," titahnya.

Titahnya, janganlah kerana perbezaan ideologi yang sempit atau kerana kepentingan diri yang lain, isu-isu sensitif seperti kemulian agama Islam, Kedaulatan Raja-Raja, hak keistimewaan kaum, hukum hakam dan agama Islam diperdebatkan secara tidak beradab di laman sosial yang boleh mengundang tafsiran negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 10:37 AM