TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail. FOTO Ihsan MAIPs
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail. FOTO Ihsan MAIPs
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan setiap masjid di Perlis tampil membantu masyarakat yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baginda bertitah, ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab dan perlu melaksanakan amanah bagi meringankan beban anak kariah masing-masing.

Titahnya, ahli jawatankuasa masjid juga memainkan peranan dengan memberikan bantuan kepada masyarakat dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di Perlis.

“Beta ucapkan tahniah dan terima kasih atas kesediaan jawatankuasa masjid yang turun padang dengan penuh berintegriti dalam melaksanakan amanah menyantuni masyarakat sepanjang PKP.

“Mereka juga perlu mengambil langkah-langkah keselamatan yang tinggi ketika menghulurkan sumbangan seperti memakai pelindung muka dan menjaga kebersihan diri serta peralatan yang digunakan,” titah dalam kenyataan, hari ini.

Baginda juga bertitah, setiap masjid tidak boleh menganjurkan sebarang program pengimarahan dan pengajian sehingga tamat pelaksanaan PKP.

“Arahan berkaitan penangguhan sebarang aktiviti membabitkan jemaah masjid termasuk program pengimarahannya mestilah dipatuhi bagi menjaga kemaslahatan umat.

“Semua pihak perlu memberi kerjasama bagi berhadapan penularan wabak Covid-19, patuhilah arahan semasa dikeluarkan oleh MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) dan pihak berkuasa,” titahnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 1:54 PM