Paya Linda Yahya

Gua Musang: Lebih 37 tan makanan akan diagihkan kepada 2,086 keluarga Orang Asli di daerah ini yang terputus hubungan kerana jalan rosak.

Sumbangan makanan terdiri daripada 11 barangan termasuk beras, gula, tepung, biskut dan sardin akan diagihkan kepada 10 Pos Orang Asli melalui jalan darat dan udara dengan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Ketua Jajahan Gua Musang yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Ab Pattah Hasbullah berkata, penghantaran bermula Khamis lalu kepada Pos Pasik, Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kuala Wood dengan jumlah 673 keluarga

"Enam pos lagi iaitu, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Balatim, Pos Hau, Pos Balar dan Pos Bihai dihantar menggunakan pesawat milik Unit Udara JBPM yang membabitkan 1,413 keluarga dengan lebih 25 tan bahan makanan asas.

"Operasi penghantaran bahan makanan asas ini turut mendapat kerjasama daripada JBPM, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Hutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

WAKIL prjabat tanah menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Orang Asli. FOTO Paya Linda Yahya
WAKIL prjabat tanah menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Orang Asli. FOTO Paya Linda Yahya

"Sumbangan ini juga bagi meringankan beban masyarakat Orang Asli yang terkesan akibat daripada Monsun Timur Laut baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, tiga helikopter akan digunakan bagi menghantar bekalan.

"Tiga aset helikopter sudah bersedia di sini dan kami berharap keadaan cuaca bertambah baik bagi membolehkan bantuan makanan dihantar ke pos penempatan yang terlibat.

"Operasi penghantaran kesemua bakul makanan dijangka mengambil masa tiga hingga empat hari bergantung kepada keadaan cuaca semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 12:49 PM