PUSAT beli-belah Alamanda lengang, hampir semua premis terpaksa ditutup. FOTO Luqman Hakim Zubir
PUSAT beli-belah Alamanda lengang, hampir semua premis terpaksa ditutup. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Pusat beli-belah Alamanda, di sini, lengang dengan kehadiran pengunjung selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Berikutan itu, kebanyakan peniaga kecil di dalam pusat beli-belah berkenaan menutup perniagaan mereka kerana kekurangan pengunjung.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Putrajaya Norsyahrin Hamidon berkata, peniaga setiap hari mempunyai sasaran aliran tunai bagi perniagaan mereka.

Katanya, dengan kekurangan pengunjung di pusat beli-belah itu, sudah tentu akan menjejaskan aliran tunai perniagaan mereka.

"Semasa tempoh PKP ini ramai yang tidak keluar rumah atau kurang berkunjung ke pusat beli-belah, jadi tidak ada gunanya mereka berniaga. Peniaga ini bergerak berdasarkan sasaran aliran tunai, jika sasaran sehari itu tidak dapat dicapai lebih baik mereka tutup perniagaan.

"Kita harap tempoh ini tidak berpanjangan, jika tidak ia akan memberi peniaga masalah seperti Mac lalu yang mana mereka tidak mampu bertahan dan akhirnya terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tiada lagi pendapatan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Norsyahrin berkata, isu tidak mampu membayar sewa tidak timbul kerana kebanyakan peniaga sudah mula pulih ketika tempoh PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sebelum ini.

Dalam pada itu, Norsyahrin berkata, terdapat juga rungutan daripada peniaga yang menyatakan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bercanggah sehingga mengelirukan peniaga.

"Sebenarnya peniaga ini juga perlu berhadapan dengan arahan yang bercanggah. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) keluar arahan mengatakan beberapa sektor perniagaan ini boleh beroperasi namun jawapan sebaliknya diterima oleh peniaga daripada PBT.

"Dekat sini memberi konflik dan dilema kepada peniaga, jadi diharapkan kerajaan kena cepat mengeluarkan arahan yang jelas kepada peniaga. Pekeliling yang dikeluarkan oleh MITI ini tidak boleh digunakan kerana arahan daripada PBT ini berlainan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 9:57 PM