GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 252 individu dikompaun selain seorang direman atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Berdasarkan pecahan kesalahan, 115 tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (88), premis beroperasi lebih masa (23), aktiviti pusat hiburan (16) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (11).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Operasi Benteng turut menahan 18 pendatang asing tanpa izin (Pati), tiga tekong serta merampas tujuh kenderaan.

"Sebanyak 111 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam dengan 46 daripadanya membabitkan Op Penawar.

"Op Benteng Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula melakukan 56 SJR dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) terbabit dalam sembilan SJR," katanya pada kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, 103,054 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 78 hotel serta 16 Institut Latihan Awam (ILA) termasuk Institut Pengajian Swasta.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 8,474 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 94,040 individu sudah dibenarkan pulang.

"Hari ini adalah hari pertama pelaksanaan PKP di enam negeri selain PKP Bersyarat (PKPB) yang turut dilaksanakan di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala Sarawak dan Perlis dilaksanakan PKP Pemulihan (PKPP).

"Sejajar dengan pelaksanaan perintah itu, orang ramai dinasihati supaya sentiasa menjaga keselamatan diri, mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), amalkan kawalan kendiri serta mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:21 PM