FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 792 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) menerusi Operasi Pematuhan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal membabitkan 180 individu manakala 170 individu melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka.

"Selain itu, seramai 135 individu ditahan kerana gagal mendaftar masuk premis, rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran serta makan di premis (102), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (88), membawa penumpang berlebihan (88), premis gagal patuhi arahan (9) dan lain-lain (20).

"Daripada jumlah itu, 781 individu dikompaun manakala 10 individu direman dan seorang lagi dijamin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan tujuh kenderaan darat dirampas.

Katanya, dalam operasi sama, sebanyak 173 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

Selain itu, beliau berkata, seramai 734 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan kesemuanya dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

"Secara kumulatif, sejak 24 Julai 2020 sehingga semalam, seramai 217,249 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 78 hotel serta 11 institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta," katanya.

Dalam pada itu, katanya, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan pemantauan di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil serta mencukupi.

Menurutnya, hasil 1,590 pemeriksaan khas dilakukan mendapati semua premis mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau menyeru masyarakat mengamalkan kawalan pergerakan kendiri dengan kekal di rumah dan amalkan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:52 PM