Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Suami kepada YouTuber masakan popular terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan perintah bon berkelakuan baik selama tiga tahun kerana memiliki senjata berbahaya.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, M Sugu yang juga pekerja ladang dengan cagaran RM8,000 bersama seorang penjamin, mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau turut memerintahkan tertuduh membayar kos pendakwaan sebanyak RM3,000.

Terdahulu, Sugu menukar pengakuannya daripada tidak bersalah kepada bersalah.

Dia dituduh memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis 'Tiger' di kawasan parkir Wad Paliatif Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, pada antara 4 hingga 6 petang, 21 Julai 2020.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan.

M Sugu (tengah) dan peguamnya ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO BERNAMA.
M Sugu (tengah) dan peguamnya ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO BERNAMA.

Terdahulu, peguam Mohamad Hafiz Jalaludin dan Syahrul Nizam Mohd Rabi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik mengambil kira tertuduh tidak pernah terbabit dalam kes jenayah mahupun gangsterism sebelum ini serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Mohamad Hafiz berkata, keseluruhan kes itu berpunca daripada salah faham semata-mata, selain anak guamnya perlu menyara dua anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian serta jagaan.

"Pengakuan awal (kepada mengaku bersalah) hari ini sudah menjimatkan masa dan kos, selain mengambil kira pengiktirafan yang diberikan atas kejayaannya sehingga menerima anugerah Ikon Bandaraya Ipoh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan mahkamah agar tertuduh membayar kos pendakwaan berikutan siasatan lengkap dijalankan pihak berkuasa.

Pada 24 Julai lalu, Sugu yang juga suami kepada YouTuber masakan, S Pavithra mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan pihaknya menghantar permohonan representasi kepada pihak pendakwaan, sebelum ditolak Mahkamah Sesyen Ipoh pada Oktober lalu.

Pada 17 September 2020, Mahkamah Sesyen Ipoh melepas tanpa membebaskan Sugu, daripada tuduhan mencederakan Pavithra, 28, pada waktu kejadian selepas isterinya itu mengangkat sumpah bagi menarik balik pertuduhan dengan rela tanpa paksaan dan ugutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 12:35 PM