DATUK Sri Alexander Nanta Linggi (tengah) dan turut serta Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua kiri) melihat produk segar yang terdapat di kedai Mesra. FOTO Aswadi Alias
DATUK Sri Alexander Nanta Linggi (tengah) dan turut serta Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua kiri) melihat produk segar yang terdapat di kedai Mesra. FOTO Aswadi Alias
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dinasihatkan untuk membeli barang keperluan di luar kawasan yang terjejas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi mengelakkan kekurangan barangan keperluan harian kepada mangsa banjir.

Menurutnya, ini juga dibimbangi akan memberikan persepsi negatif kepada masyarakat berlakunya kekurangan barangan keperluan harian sedangkan bekalan mencukupi.

"Kementerian mengalu-alukan bantuan dihulurkan NGO, namun diharap bekalan barang keperluan yang mahu disumbangkan dibeli di kawasan bukan terjejas (akibat banjir).

"Jika keadaan ini berlaku masyarakat setempat akan gusar barangan keperluan seperti minyak masak akan kehabisan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Segar@Mesra di Stesen Petronas Prima Saujana 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid dan Naib Presiden (Pemasaran) Petronas, Ahmad Adly Alias.

Segar@Mesra adalah inisiatif KPDNHEP, Mafi dan Petronas memasarkan produk segar dengan harga berpatutan di stesen minyak Petronas terpilih seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, Alexender berkata, KPDNHEP mahu memastikan pengguna mendapat barang keperluan harian yang segar pada harga berpatutan.

Katanya, dengan kerjasama agensi di bawah Mafi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) keperluan asas ini dapat dijual terus kepada pengguna.

"Dalam masa sama, golongan seperti nelayan, petani dan penternak juga dapat dibantu memasarkan produk mereka.

"Kualiti dan harga barangan Segar@Mesra ini akan sentiasa segar serta murah kerana terus dipasarkan kepada pengguna tanpa pembabitan orang tengah," katanya.

Sementara itu, Ahmad Adly berkata, Petronas mengalu-alukan kerjasama bersama KPDNHEP dan Mafi untuk memasarkan produk segar kepada pengguna.

"Kini, program Segar@Mesra bermula di empat stesen minyak Petronas di Bandar Baru Bangi, Sungai Ramal Dalam, Pelangi Semenyih dan Prima Saujana 2.

"Jika sambutan menggalakkan diterima daripada pengguna, Petronas bercadang untuk membuka lebih banyak lagi stesen minyak yang menawarkan produk Segar@Mesra," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 5:38 PM