PENGUNJUNG membeli produk sejuk beku segar yang dijual di kedai Mesra di Stesen Petronas Prima Saujana 2, Kajang, semalam.
PENGUNJUNG membeli produk sejuk beku segar yang dijual di kedai Mesra di Stesen Petronas Prima Saujana 2, Kajang, semalam.

PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) memperkenalkan Segar@Mesra yang menawarkan produk sejuk beku segar pada harga berpatutan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, program berkenaan adalah kerjasama strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Menurutnya, program ini mampu membantu pengeluar, petani dan penternak dalam meningkatkan pendapatan dengan memasarkan secara terus kepada pengguna menerusi Kedai Mesra di Stesen Petronas terpilih.

Katanya, sebagai permulaan, orang ramai boleh mendapatkan produk Segar@Mesra di stesen Petronas di Unikeb 2, Bandar Baru Bangi; Persiaran Jaya Sungai Ramal Dalam; Prima Saujana 2, Kajang dan Pelangi Semenyih.

"Kita akan melihat dulu sambutan pengguna terhadap program ini sebelum diperluaskan di 750 Kedai Mesra seluruh negara.

"Segar@Mesra mempunyai kira-kira 50 produk keluaran tempatan dan program ini berupaya membantu golongan B40 dan M40 dalam mendapatkan produk sejuk beku seperti ayam, ikan, daging, buah dan sayuran pada harga lebih rendah," katanya selepas majlis perasmian Segar@Mesra di Stesen Petronas Prima Saujana 2 di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Mafi, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Azrul berkata, program terbaru ini seiring fokus kumpulan memperluas penyelesaian makanan dan minuman kepada pelanggan seiring dengan pengembangan perniagaan PDB di seluruh negara.

Menurutnya, 10,000 pelanggan terawal berpeluang menerima RM2 pulangan tunai apabila membuat pembelian barangan Segar@Mesra minimum RM20 melalui aplikasi Setel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 7:10 AM