GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan membabitkan kartel daging import haram.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya tidak akan melindungi kakitangan atau pegawai di kementerian berkenaan yang terbabit dalam kartel daging import terbabit.

Katanya, siasatan penuh perlu dilakukan untuk mengesan dalang yang bertanggungjawab melakukan kesalahan ini.

"Mafi juga mahu tahu punca masalah dan bagaimana masalah ini dapat diselesaikan.

"Kartel daging tidak halal ini menyeludup masuk bekalan, namun bekalan daging import lain melalui permit import (AP) yang sah selain diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Segar@Mesra di Stesen Petronas Prima Saujana 2, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalannya Datuk Rosol Wahid dan Naib Presiden (Pemasaran) Petronas, Ahmad Adly Alias.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Kedua-dua pegawai berusia 27 dan 31 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan, malam semalam.

Mengulas lanjut mengenai Segar@Mesra, Ronald berkata, golongan petani, penternak dan nelayan boleh menambah saluran pemasaran produk mereka tanpa kebergantungan kepada orang tengah.

"Segar@Mesra ini adalah satu peluang cukup baik dalam membuka ruang pasaran baru kepada hasilan pertanian sekali gus membantu meningkatkan pendapatan usahawan petani, penternak dan nelayan.

"Mafi sentiasa komited dalam meningkatkan taraf hidup golongan ini selain pelbagai dasar dan strategi dirangka bagi meningkatkan pendapatan dan membantu pengguna menikmati harga barang keperluan lebih murah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 6:08 PM