Rosman Shamsudin


KIRA-kira 1,000 penduduk terputus hubungan dengan Slim River apabila laluan menuju ke pekan itu dekat kawasan Bukit Keranji dinaiki air kira-kira satu meter, awal pagi tadi.

Penduduk yang terjejas dari Kampung Sri Keledang, Perumahan SKC Jaya, Kampung Asli Changkat Ramu, Kampung Orang Asli Buluh Seruas, perumahan Ladang United Plantantions, dan Ladang Bukit Mas.

Penduduk, Daud Kassim, 67, berkata, hujan lebat bermula petang Sabtu lalu menyebabkan paras air Sungai Bernam meningkat dengan cepat.

Katanya, limpahan air sungai itu masuk ke ladang kelapa sawit sebelum memenuhi kawasan jalan raya yang menjadi penghubung antara kampung dan pekan.

"Setakat ini hanya kenderaan berat saja yang mampu melepasi laluan yang dinaiki air.

"Biasanya, tahun sebelum ini, air hanya melimpah di selekoh bukit saja kerana kawasan itu agak rendah tetapi kali ini memang jumlah lebih banyak," katanya ketika ditemui dekat Bukit Keranji.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Rela Daerah Muallim, Shukeriradzi Md Said, 50, berkata, hujan selama 12 jam tanpa henti menyebabkan banyak kawasan di landa banjir kilat.

SHUKERIRADZI menunjukkan laluan yang dinaiki air berdekatan Bukit Keranji. FOTO Rosman Shamsudin
SHUKERIRADZI menunjukkan laluan yang dinaiki air berdekatan Bukit Keranji. FOTO Rosman Shamsudin

Katanya, air Sungai Bernam datang dari Sungai Slim dan Sungai Behrang dan apabila kedua sungai terbabit tidak dapat menampung air menyebabkan ia melimpah ke ladang terutama laluan itu.

"Buat masa ini, saya nasihatkan penduduk yang menggunakan motosikal dan kereta jangan melalui laluan ini kerana paras air masih dalam dan tidak selamat dilalui.

"Di bahu jalan ini mempunyai parit yang dalam dan jika tidak berhati-hati, saya bimbang kenderaan tenggelam di kawasan parit ladang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 10:53 AM