Foto hiasan
Foto hiasan
Nor Haidya Syafira Amir

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini menjangkakan cuaca buruk dengan hujan lebat di Pahang dan Johor berterusan sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataannya pada petang ini memaklumkan amaran cuaca buruk itu dijangka melanda daerah Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang, manakala di Johor membabitkan Mersing.

Menurut kenyataan itu, hujan lebat juga dijangka berterusan di Kemaman, Terengganu, Pahang (Raub, Bentong dan Bera) dan Segamat serta Kluang di Johor hingga Selasa ini.

Sementara itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka sehingga Selasa ini turut berlaku di Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) dan di Pahang membabitkan Tanah Tinggi Cameron dan Lipis.

"Situasi sama juga dijangka berlaku di Kinta, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak, manakala di Selangor membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor," kata kenyataan itu.

Selain itu, daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor dan di Pantai Barat (Kota Belud), Sandakan (Telupid dan Beluran) dan Kudat di Sabah turut dijangka berlaku hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:19 PM