FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti Salmiah A Hamid


JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk bagi negeri Kelantan dan Terengganu dan dijangka hujan lebat berterusan sehingga esok.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Alui Bahari berkata, negara masih lagi berada di dalam fasa Monsun Timur Laut yang dijangka akan

berakhir pada penghujung bulan Mac.

“Beberapa siri hujan lebat dijangka berlaku terutamanya di negeri-negeri di timur Semenanjung serta di barat Sarawak.

“Hujan lebat dijangka berterusan di Kelantan membabitkan kawasan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai manakala Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun).

“Amaran peringkat waspada turut dikeluarkan bagi kawasan di Gua Musang, Kelantan dan di Kemaman, Terengganu yang dijangka berterusan hingga esok,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta berwaspada dengan kenaikan air di kawasan tempat tinggal masing-masing berikutan dikhuatiri berlakunya banjir.

Beliau berkata, beberapa kawasan turut mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di negeri Pahang (Bentong, Temerloh, Maran dan Bera), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin) dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian) sehingga 8 malam ini.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kilometer/sejam dengan ombak mencapai 3.5 meter yang dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 8:21 PM