Zaid Salim


Marang: "No way." Itu jawapan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengulas sama ada Umno akan bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Katanya, Umno Terengganu berpendirian tegas tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Umno Terengganu akan bergerak sendiri menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dan menolak kerjasama dengan Pas kerana mendakwa parti itu tidak jujur dan melanggar syarat perjanjian persefahaman (MoU) ketika penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

"Pas melanggar perjanjian itu selepas tiba-tiba bergabung dan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan menubuhkan PN," katanya pada majlis Perasmian Cawangan Umno Kampung Pak Wan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Alor Limbat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian yang juga Ketua Penerangan Umno Terengganu, Nik Dir Nik Wan Ku, Ketua Urusetia Dun Alor Limbat, Nik Rusidi Megat Deraman dan Ketua Cawangan Umno Kampung Pak Wan, Abdullah Shafie.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyerahkan sebanyak 90 borang keahlian baru penyokong Pas untuk menyertai Umno.

Ahmad berkata, Umno Terengganu sudah membuat pengisytiharan untuk bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan lapan kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti.

AHMAD (kanan) bercakap pada media selepas merasmikan Umno Cawangan Kampung Pak Wan. FOTO Ghazali Kori
AHMAD (kanan) bercakap pada media selepas merasmikan Umno Cawangan Kampung Pak Wan. FOTO Ghazali Kori

"Kita terpaksa isytihar kerana Pas tidak jujur dan bertegas untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU-14 iaitu 22 kerusi Dun dan enam Parlimen.

"Jika itu keputusannya, bermakna Umno tiada pilihan dan InsyaAllah PRU-15 nanti kita (BN) akan menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:06 PM