KEADAAN banjir di Kampung Sentosa Damai, Masai, di Pasir Gudang, petang tadi. FOTO Ihsan Bomba Johor
KEADAAN banjir di Kampung Sentosa Damai, Masai, di Pasir Gudang, petang tadi. FOTO Ihsan Bomba Johor
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 226 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir di Jalan Damai 8, Kampung Sentosa Damai, Masai, di Pasir Gudang, dekat sini, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar berkata, selepas menerima panggilan kecemasan 4.07 petang, pihaknya menggerakkan 15 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, dua jentera, sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti van dari BBP Pasir Gudang turut digerakkan ke lokasi.

"Setibanya ke lokasi, didapati benar berlaku banjir pada paras tiga meter dan kesemua 226 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru.

"Operasi kemudiannya ditamatkan 9.31 malam ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, PPS Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai, mula dibuka sejak jam 2 petang tadi bagi menempatkan 88 mangsa daripada 22 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor Bahru, menerusi kenyataan berkata hujan mula lebat awal pagi tadi sehingga petang melebihi lapan jam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 11:10 PM